Pages

Friday 6 January 2012

Aku sang penyeru yang bisu


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah..
Aku sering melihat di sekeliling ku berbagai ragam saudara Islamku yang bercanggah dengan perundangan Maha Pencipta. Ada yang rancak bercinta, ada yang bersuka ria di tempat-tempat tidak elok, ada yang kurang sopan pakaiannya hingga tak terbeza siapa muslim dan siapa bukan. Ada yang di malam hari leka gembira di celah sorakan perlawanan bola sepak, ada yang lewat senja asyik melayan filem-filem barat mahupun tenggelam dalam lagu mereka.
Ada yang dengan tiada rasa bersalahnya tidak bersolat. Dari subuh ke isyak, sekali pun tak memijak sejadah. Ada yang tak malu langsung menjamah makanan di bulan ramadhan. Quran langsung tak disentuh, jadi buku asing, jauh benar-benar jauh. Ada pula yang meneguk air haram di kalangan teman. Mereka seolah bangga melakukan kemungkaran.
Dan aku? Oh, aku lain pula ceritanya. Aku yakin dan bangga menggelar diriku daie. Aku bernafas dengan kefahaman bahawa aku wajib menyeru manusia kepada Deen yang satu, yaitu Islam. Aku mengenakan lencana Daie di dadaku dan keluar rumah setiap hari mendakwa diri adalah Sang Penyeru itu.
Malangnya akulah Sang Penyeru yang bisu. Mulutku diam terkunci. Entah bagaimana aku boleh yakin yang akulah daie – akulah penyeru.
Hanya kerana aku berprogram, hanya kerana aku hantar borang mutabaah amal kepada naqibah, hanya kerana aku baca tulisan Al Maududi dan aku baca Muntalaq, hanya kerana aku bergaul sesama akhawat, aku berkunjung ke RI, hanya kerana aku sudah mendengar syahadatul haq, sayonara jahiliah, ghuzwatul fikr, dakwah fardhiyah dan selainnya, aku mendabik dada mengaku daie.
Nota yang Allah tinggalkan itu, aku pegang dan aku rasa aku sudah pun tergolong.
Tapi sebenarnya kemungkaran di sekelilingku, aku diamkan. Aku bisukan diri. Aku tidak berusaha mengajak temanku solat berjemaah. Aku tidak langsung bersungguh-sungguh berusaha memikat temanku kepada Al Quran. Aku jarang sekali membuka mulut menyampaikan kemanisan Islam dan Iman kepada saudara-saudaraku. Kalau ada pun, pilih-pilih orang. Yang nampak baik, yang nampak alim saja. Yang nampak ‘jauh’, aku biarkan. Kalau aku cuba, biasanya hanya sekali. Andai gagal, terus aku berhenti.
Aku tidak berani menegah kemungkaran yang aku lihat. Bimbang dibenci, bimbang dikutuk, bimbang dikata kolot, bimbang di cop “geng-geng skema”. Aku tidak langsung berusaha mengkhabarkan kepada mereka yang perbuatan itu salah, dengan memikirkan mereka sepatutnya sudah tahu sendiri.  Aku sering merasakan ‘ah biarlah dulu, nanti adalah yang lebih layak akan menegur. Nanti tersilap hemah, lain pula jadinya.’
Kadang pula, aku berasa cukup sekadar ‘membenci kemungkaran dengan hati’. Biarpun itu selemah-lemah iman. Asalkan, aku tidak sama terjerumus. Kadang-kadang  bagi aku, cukuplah aku berukhuwah dan berqudwah dengan mereka, dan aku dakwa pula aku berukhuwah kerana Allah. Walhal, ukhuwah fillah itu adalah saling menjaga dan membantu agar dapat bersama ke jannah.
Itulah aku. Daie atau sang penyeru yang bisu. Yang mendiamkan ajakan kepada ma’aruf, hingga begitu ramai kalangan saudaraku yang tidak temui tali untuk berpaut dan mereka terus hanyut dalam arus noda yang deras. Akulah penyeru bisu yang mendiamkan larangan dari kemungkaran sedang aku tahu yang mana halal dan yang mana haram. Akibatnya, saudara sekelilingku terus lena dalam pesona palsu noda yang hitam itu.
Akulah sang penyeru bisu yang lupa akan peringatan Allah,
“apakah kamu mengira kamu akan dibiar tanpa dipertanggungjawabkan?” al qiyaamah:36
Akulah sang penyeru bisu yang lupa akan amaran Allah saat aku menafikan hak saudaraku yang qabi’,
“Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa.” Az-zukhruf:67
Aku lah sang penyeru bisu yang mengharapkan aku tergolong dalam kalangan tentera ad-deen yang maju bertempur di atas perbarisan panji islam, sedangkan aku sebenarnya insan yang di dalam kerugian teramat besar kerana tidak berpesan-pesan.
“demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” Surah Al asr

Aku kira, aku di atas jalan dakwah.
Aku kira, aku sudah di atas landasan sama yang dilalui nabi dan sahabat.
 Aku kira, inilah yang akan aku sembahkan di perhitungan kelak.
 Aku kira, aku yang sama-sama menjulang panji Islam itu.
Aku kira, aku sudah berentap menegakkan Islam di watan.
Aku kira, aku sudah bersaksi.
Aku kira, akulah daie akulah penyeru.
Malangnya aku penyeru yang  bisu; Seperti lampu yang tidak bernyala.

Sudah tiba masanya untuk pecahkan kebisuan itu. Kiranya aku ingin jadi penyeru, maka benar-benarlah menyeru hampir kepada yang ma’aruf, dan menyeru jauh dari yang munkar.

No comments:

Post a Comment